Sunday, March 15, 2009

SELAMAT BERTUGAS YB PRO-MAHASISWA

Pilihanraya kampus telah berlalu pergi seminggu yang lepas. Penulis ingin mengucapkan tahniah kepada mahasiswa yang berjaya memenangi dan dipilih secara sah dalam pilihanraya kampus. Tahniah ini juga ditujukan kepada calon Pro Mahasiswa yang mengekalkan kemenangan bergaya di UIAM dan mencapai kembali kemenangan di bumi UM. Ini menunjukkan bahawa para pengundi dan mahasiswa mahukan komitmen padu anda agar terus berkhidmat dengan cemerlang kepada mahasiswa keseluruhannya.

Seperti yang pernah penulis nyatakan dalam beberapa penulisan sebelum ini bahawa idealogi sesebuah gerakan memainkan peranan penting. Hal ini kerana sifir politik kampus mudah iaitu kuatnya sebuah kemenangan adalah kerana kuatnya sebuah pegangan idealogi. Maka kajian penulis sebelum ini tepat bahawa kemenangan calon bukan kerana personalitinya sahaja tetapi turut dipengaruhi oleh idealogi.

Sebagai contoh, di bumi UIA, pertandingan telah melibatkan tiga penjuru iaitu Pro-Mahasiswa, Pro-Aspirasi dan PKPIM. Namun kemenangan tetap berpihak kepada Pro-Mahasiswa dan bukannya Pro-Aspirasi. Kalau diteliti setiap calon pastinya ada kelebihan tersendiri. Penulis ingin membuat beberapa telahan melalui calon yang dipertandingkan. Bagi calon Pro-Aspirasi, mahasiswa menolak mereka kerana asosiasi dan penglibatan mereka dengan politik kepartian serta kedudukan akademik yang tidak baik sepanjang penglibatan mereka dalam pilihanraya kampus (PRK).

Manakala calon PKPIM pula tidak mendapat sokongan padu kerana calon sebegini tidak berpijak di bumi yang nyata. Walhal calon yang dipertandingkan mewakili PKPIM hebat sehingga ada yang berjawatan Naib Presiden PKPIM Pusat tetapi ditolak mentah – mentah oleh mahasiswa. Ini bermaksud, sekiranya dilihat melalui poster dan ‘leaflet’ mereka maka akan tertera penglibatan dan asosiasi mereka yang banyak bersama NGO di luar kampus. Mahasiswa UIAM mahukan calon yang banyak berkhidmat di bumi sendiri dan bukan hanya sekadar bijak berkhidmat di luar sempadan kampus.

Tetapi keberanian dan kehebatan calon Pro-Mahasiswa UIAM perlu dipuji. Poster dan ‘leaflet’ mereka dipenuhi dengan aktiviti – aktiviti persatuan yang mewakili mahasiswa. Bahkan kehebatan mereka dipantulkan lagi dengan tertera keputusan PNGK atau CGPA yang cemerlang iaitu hampir semua calon Pro-Mahasiswa mempunyai kelayakan akademik lebih PNGK 3.3. Calon dari PKPIM dan Pro-Aspirasi tidak berani untuk tampil dengan keputusan akademik mereka di dalam sebarang poster kerana mutu dan kelayakan akademik mereka adalah kurang berbanding Pro-Mahasiswa.

Mungkin ini yang menjadi bualan mahasiswa walaupun Pro-Mahasiswa berkali – kali memenangi pilihanraya kampus dan masih lagi mengekalkan angin perubahan sehingga mahasiswa lebih cenderung untuk memilih calon sebegini. Ada juga yang menyatakan undi yang dimiliki oleh Pro-Aspirasi dan PKPIM adalah undi simpati kerana sebagai menghargai komitmen mereka untuk bertanding walaupun tewas berkali – kali dalam pilihanraya kampus terutama di bumi UIAM.

Penulis ingin mengucapkan selamat bertugas dan bekerja kepada calon yang Berjaya dalam PRK kali ini. Sesungguhnya ini merupakan amanah dan taklifan daripada mahasiswa kepada anda. Buktikan kepada mahasiswa walaupun anda ditekan, dipijak dan dihenyak tetapi anda masih lagi tetap meneruskan perjuangan. Kita mahu melahirkan ratusan dan ribuan pejuang keadilan muda seperti Dr Martin Luther King yang menentang diskriminasi masyarakat kulit hitam yang dilakukan oleh masyarakat kulit putih di Amerika. Beliau merupakan penerima Nobel Keamanan termuda iaitu ketika berusia 35 tahun namun mati ditembak pada usia 37 tahun. Begitu juga Jose Rizal, pemuda yang berusia 26 tahun yang berjuang memerdekakan Filipina dari penjajahan Sepanyol namun ditangkap dan dihukum bunuh.

Justeru, perjungan mereka yang ditindas ini samalah keadaan yang bakal menimpa oleh pemimpin mahasiswa Pro-Mahasiswa. Perjuangan anda perlu dibayar dengan harga sebuah pengorbanan. Benarlah seperti yang dinyatakan mantan TPM, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, “kalau takut risiko usah bicara soal perjuangan.” Ini hanyalah sunnatullah dan fitrah yang kita harus lalui seperti perjuangan para rasul dan anbiya’.

No comments: