Friday, December 12, 2008

AGENDA MUSLIHAT DI SEBALIK SEKOLAH SATU ALIRAN

Kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Yang Berhormat Dato’ Mukhriz Tun Mahathir, ahli Parlimen Jerlun, mendapat respon dan tindak balas dari semua pihak tidak kira pemimpin pembangkang, penyokong kerajaan mahupun aktivis masyarakat. Sekolah satu aliran ini bermaksud semua sekolah jenis kebangsaan tamil dan cina dihapuskan dan hanya wujud sekolah kebangsaan yang memayungi seluruh bangsa Malaysia tetapi bahasa Cina dan India kekal untuk dipelajari. Walaubagaimanapun cadangan beliau untuk mewujudkan sekolah satu aliran dengan matlamat bagi menyatupadukan rakyat dan mengelakkan polarisasi kaum Negara ini mendapat tentangan terutama daripada organisasi bukan melayu.

Ada yang menyatakan bahawa kenyataan beliau berunsur perkauman dan mengelirukan orang ramai. Hal ini kerana sebahagian berpendapat kenyataan Dato’ Mukhriz hanya retorik kerana mahu dilihat sebagai jaguh tatkala pemilihan parti bagi sayap Ketua pemuda UMNO. Ada juga orang yang menyokong idea beliau dan memberikan idea baru supaya diwujudkan kembali idea Sekolah Wawasan. Cadangan ini telah dikemukakan oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu baru – baru ini yang mahukan konsep yang diilhamkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hampir 10 tahun lalu direalisasikan.

Cadangan ini membawa konsep dua atau tiga buah sekolah rendah yang berlainan aliran dan pentadbiran dibina dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan asas seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, makmal computer dan kantin. Matlamat sekolah itu adalah bagi memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran dengan mengekalkan status sekolah masing – masing.

Penulis melihat dari dua sudut. Sudut yang pertama ialah isu ini (sekolah satu aliran) ditimbulkan melalui perjanjian kontrak sosial. Penulis bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM, Anuar Ahmad yang menyatakan pakej di dalam kontrak social ialah orang Melayu berhak berhak dalam soal Ketuanan Melayu dan orang cina berhak bercakap dalam survival pendidikan mereka.

Ini bermakna kalau orang cina mempertikaikan ketuanan Melayu maka orang Melayu juga akan mempersoalkan system pendidikan sekolah Cina. Dalam erti kata lain, persoalan ini dibangkitkan setelah berlaku kenyataan songsang daripada Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menyentuh soal ketuanan Melayu dan pastinya ada pemimpin Melayu mempertikaikan kembali system sekolah Cina dan ternyata ia menjadi kenyataan. Ini bermaksud jika orang melayu menyentuh sekolah orang Cina maka orang Cina akan menyentuh soal ketuanan Melayu. Sedangkan pakej kontrak social ini telah dijamin oleh undang – undang iaitu hak orang keistimewaan orang Melayu di sebut dalam Perlembagaan Persekutuan manakala kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dilindungi melalui Akta Pelajaran 1996. Maka isu ini sepatutnya senyap dan tidak perlu dibangkitkan.

Sudut kedua yang dapat dilihat oleh penulis ialah cadangan penubuhan satu aliran system pendidikan kebangsaan atau penubuhan sekolah wawasan yang kedua – dua ini mempunyai ancaman yang besar kepada kewujudan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Penulis turut bersetuju dengan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang ahli Parlimen kerajaan yang menyatakan idea Dato’ Mukhriz akan menyebabkan terhapusnya juga sekolah agama. Kenyataan ini satu kenyataan yang berbahaya kerana SAR ini telah melahirkan ramai pelajar yang kini berada di tampuk kepimpinan Negara. Bagi penulis SAR perlu dipertahankan biarpun isu pendidikan ini dimainkan, pemimpin Melayu terutamanya perlu mempertahankannya. Jangan biarkan isu ini dimanipulasikan dengan agenda untk menghapuskan SAR. Penulis berbangga dengan SAR kerana penulis sendiri pernah menerima system pendidikan SAR ini.

Kita seharusnya memuji beberapa tindakan kerajaan Pakatan Rakyat yang melindungi SAR. Contoh yang boleh diambil ialah bantuan sebanyak RM 600 000 yang diluluskan untuk diberikan kepada SAR melalui Bajet Sidang Dewan Undangan Negeri Penggal Pertama DUN Kedah yang ke -12 melalui bajet pendidikan yang merangkumi sebanyak RM 26.5 juta bagi pengurusan sekolah dan RM 2 juta bagi prasarana pembangunan sekolah. Bantuan ini diberikan setelah bantuan berkapita dihentikan oleh kerajaan terdahulu. Begitu juga senario yang dapat dilihat di Pulau Pinang yang memperuntukan sebanyak RM 1.5 juta kepada SAR dan juga di Perak dibawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat maka dianugerahkan setiap satu SAR 1000 hektar tanah untuk ditanam kelapa sawit bagi menjana pendapatan SAR ini. Langkah ini seharusnya dipuji dan dipertahankan.

Justeru, isu sekolah satu aliran ini dapat dilihat melalui pelbagai persepsi. Bagi penulis dua sudut yang dinukilkan ini perlu dilihat sebagai satu isu serius dan perlu ditangani segera. Antara kontrak social dan SAR kedua – duanya penting untuk dipertahankan.

Thursday, December 11, 2008

MAHASISWA PERLU BELAJAR BERKORBAN

Perihal korban telah dinukilkan oleh Allah melalui pelbagai kisah bermula dari Nabi Adam, Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Kisah nabi Adam diceritakan tentang penerimaan Allah terhadap haiwan sembelihan dari Habil dan Qabil. Manakala kisah nabi Ibrahim ialah perintah Allah terhadap nabi untuk menyembelih nabi Ismail melalui wahyu yang diturunkan dalam mimpi. Begitu juga cerita nabi Muhammad melalui keturunannya iaitu bapanya yang bakal disembelih oleh datuknya. Segala kisah yang dinukilkan ini mempunyai ibrah dan pengajarannya yang tersendiri. Antara pengajarannya ialah sikap ikhlas, patuh dan taat perintah Allah terhadap segala suruhan-Nya serta sanggup berkorban walau perkara dan benda yang paling disayangi mereka. Penulis berpandangan mahasiswa juga perlu mengambil pengajaran dari semua kisah ini iaitu semangat untuk berkorban.

Mahasiswa pada hari ini gagal menghayati konsep dan semangat untuk berkorban. Secara tidak langsung, kegagalan ini menyebabkan kita berada satu langkah ke belakang berbanding mahasiswa di negara lain. Apa yang penulis ingin maksudkan ialah pengorbanan mahasiswa terhadap masa, tenaga dan komitmen dalam perjuangan mereka. Rata – rata mahasiswa hari ini tidak berjaya untuk menguasai lapangan kajian secara kritis dan kritikal, kurang membaca dan tiada idealisme serta identiti kerana mereka tiada minat, semangat dan wawasan untuk berkorban ke arah menjadi mahasiswa yang berdaya saing.

Kehadiran ke seminar dan konvensyen seharusnya menjadi minat dan hobi mahasiswa. Namun mahasiswa di negara kita lebih cenderung untuk berhibur dan berseronok daripada berada di dalam satu majlis formal dan berbincang sesuatu perkara yang ilmiah dan serius. Hanya beberapa ‘kerat’ mahasiswa sahaja yang boleh dihitung jari menghadiri program seumpama ini. Sedangkan program sebegini manfaatnya besar kerana kita akan didedahkan melalui kajian – kajian semasa oleh ahli akademik serta analisis – analisis isu dari aktivis – aktivis masyarakat serta lain – lain.
Melalui program seumpama ini kajian telah disediakan oleh mereka yang pakar dan tidak perlu lagi untuk mahasiswa ke perpustakaan mencari bahan – bahan kajian. Bila ditanya kenapa tidak menceburkan diri dalam program ini dan kebiasaannya mereka menjawab itu bukan bidang mereka, banyak waktu lain boleh dihadiri lagi dan seribu satu alasan untuk melepaskan diri. Itu belum lagi ditanya adakah mahasiswa yang tiada minat menghadiri seminar ini selalu melakukan kajian secara sendirian seperti mengumpul keratan akhbar dan majalah, mencari kertas – kertas kerja dalam internet dan sebagainya. Maka sudah pasti jawapannya ialah “TIDAK”.

Bak kata Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail, seorang tokoh wartawan negara apabila ditanya pendapatnya terhadap wartawan hari ini maka beliau menjawab bahawa wartawan hari ini tidak kritikal mungkin kerana negara sudah maju dan idealisme perjuangan wartawan sudah tiada. Kenyataan ini boleh diqiyaskan kepada mahasiswa juga bahawa kemalasan mahasiswa untuk melakukan kajian kerana faktor yang sama. Ini menunjukkan bahawa mahasiswa gagal menghayati semangat untuk berkorban masa dan komitmen mereka untuk melakukan kajian secara analitikal dan kritis dalam suatu isu.

Selain itu, mahasiswa Malaysia juga dilihat sebagai satu golongan yang kurang membaca bacaan tambahan selain daripada buka pelajaran fakulti mereka. Ini seakan menghina Dasar Buku Negara yang ditubuhkan pada tahun 1985 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mensia- siakan penerbitan buku kecil yang berjudul Dasar Buku Negara pada tahun 1992 oleh DBP bagi pihak Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang tujuannya ialah mahukan rakyat di negara ini mempunyai minat membaca yang tinggi. Kita juga tidak boleh menyalahkan kerajaan dalam masalah ini kerana kerajaan telah menyediakan segala prasarana yang mencukupi bahkan turut melancarkan “Bulan Membaca Kebangsaan” pada setiap Julai saban tahun.

Hal ini dibuktikan lagi melalui satu kajian yang pernah dilakukan oleh Frank Smnall and Association yang mendapati bahawa tabiat membaca golongan dewasa agak membimbangkan. Sebanyak 31 peratus tidak pernah membaca sebarang buku, 28 peratus mengaku membaca sekurang – kurangnya sebuah buku seminggu, 13 peratus membaca sebuah buku bagi setiap dua hingga empat minggu, 12 peratus membaca sebuah buku bagi setiap satu hingga tiga bulan dan 4 peratus membaca bagi setiap empat hingga 12 bulan. Maka kita boleh fahami bahawa golongan mahasiswa juga tergolong dalam kelompok dewasa ini. Oleh yang demikian, mahasiswa perlu lebih banyak membaca dan mengorbankan sedikit masa agar dapat membuktikan bahawa mahasiswa negara ini adalah mahasiswa yang berintelek tinggi.

Di samping itu, sejak kebelakangan ini mahasiswa juga didapati hilang jati diri dan identiti mereka. Mereka seharusnya menjadi jurubicara ummah yang membantu rakyat dan masyarakat membawa isu mereka kepada pimpinan tertinggi negara. Kalau dahulu mahasiswa begitu yakin dan lantang menyuarakan hasrat rakyat. Antara lipatan sejarah yang boleh diambil pengajaran seperti Demonstrasi Hamid Tuah yang berlaku pada tahun 1967. Pada masa itu, mahasiswa UM menuntut supaya kerajaan mengambil sikap proaktif terhadap masalah “kelaparan tanah”. Peristiwa penangkapan Hamid Tuah bersama para pengikutnya yang meneroka tanah secara haram di Teluk Gong, Selangor dipandang serius dan berat oleh mahasiswa. Mahasiswa menentang penangkapan Hamid Tuah dan meminta kerajaan membebaskannya dan mengkaji semula polisi pembahagian tanah.

Begitu juga halnya dalam Demonstrasi Baling 1974 yang merupakan kemuncak kepada gerakan mahasiswa kerana membela nasib golongan petani di Baling. Demonstrasi yang diadakan di Kuala Lumpur merupakan rentetan daripada “Perarakan Lapar” Kedah oleh penduduk Baling sekitar 13 000 hingga 30 000 orang pada 21 dan 22 November 1974. Pada masa itu, negara mengalami tekanan inflasi dan kejatuhan harga getah yang teruk ke paras $0.20 sepaun. Purata pendapatan petani sebulan adalah di antara $ 40.00 hingga $ 100.00 sebulan. Maka mahasiswa bangkit dan menonjolkan identiti mereka yang sebenar sebagai mahasiswa yang berjiwa rakyat. Justeru mahasiswa hari ini perlu menonjolkan identiti dan idealisme mereka. Usaha ke arah itu perlu disertai dengan semangat berkorban yang tinggi.

Mahasiswa perlu ingat bahawa segala kemudahan dan kesenangan yang mereka kecapi hari ini di kampus merupakan hasil titik peluh daripada pendapatan rakyat. Mereka juga perlu percaya dan yakin bahawa pendidikan yang diterima di kampus juga merupakan pembiayaan yang datang dari wang rakyat. Maka perlu wujud satu konsep “give and take” antara mahasiswa dan rakyat. Rakyat telah memberi segala kemudahan melalui kerajaan dan mahasiswa perlu “membayar” kembali hutang mereka. Untuk itu, segala-galanya bermula daripada konsep pengorbanan demi membalas jasa dan bakti rakyat.

Wednesday, November 26, 2008

Halatuju Pendidikan Negara Kucar Kacir

Dasar Pendidikan Kebangsaan telah digubal setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Secara umumnya, dasar ini diperkenalkan untuk menggantikan dasar pendidikan penjajahan Inggeris yang ketika itu berpandukan kepada Education Ordinance 1952 yang tidak dipersetujui oleh badan – badan NGO Cina dan guru – guru melayu.

Hari ini kita telah mengecapi sebuah dasar pelajaran yang baik setelah proses kajian demi kajian dilakukan bermula dengan Jawatankuasa Kaji Semula yang dilantik kerajaan pada tahun 1960 yang dipergerusikan oleh Abdul Rahman Taib yang mengkaji kemajuan pelaksanaan dasar pelajaran berdasarkan Laporan Razak atau berdasarkan Akta Pelajaran 1957 sehinggalah wujudnya Akta Pendidikan 1996 pada hari ini.

Walaupun begitu, suasana dan kemajuan pelajaran Negara kita melalui jalan yang sukar dan berliku. Apa tidaknya para guru dibebankan dengan bebanan tugasan yang banyak. Cita – cita untuk mencapai matlamat pendidikan yang cemerlang kian kabur dengan lambakan kerja – kerja bersifat pentadbiran. Para guru didedahkan dengan tugasan pemfailan dan dokumentasi yang komplikated sehinggakan matlamat asal mereka untuk mendidik kian terhakis. Dengan itu akan wujud birokrasi yang tebal sehingga melemaskan para guru dengan kerja yang bersifat ‘pengkeranian’ dan mematikan usaha untuk mendidik anak bangsa. Sekiranya perkara ini berlarutan secara tidak langsung ia seakan menghina pengorbanan guru kepada anak bangsa.

Biarpun usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memartabatkan profesion guru sebagai profession yang mulia dengan memperkenalkan jawatan ‘Pengetua Cemerlang’ dengan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) yang dilaksanakan pada akhir tahun 2004 tidak memberikan impak yang besar sekiranya guru bawahan dianaktirikan dengan bebanan tugasan yang berlebihan. Hal ini berlarutan kerana pihak kementerian gagal menyelami perasaan dan hati sebenar guru – guru yang berada di bidang pendidikan dan bawahan.

Sudahlah para guru dibebankan dengan masalah disiplin para pelajar malahan terdapat dikalangan para pelajar yang terbabit dengan masalah disiplin ini berani menyaman para guru gara – gara hukuman disiplin yang dikenakan ke atas mereka. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pernah menyatakan beberapa tahun yang lalu bahawa ramai yang tidak berminat menjadi guru kerana secara puratanya hampir setiap hari seorang guru disaman oleh ibu bapa. Kita tidak lagi memikirkan beban lain yang guru hadapi seperti pengenalan Program Literasi Teknologi Komunikasi dan Maklumat sebagai tambahan Rancangan Komputer Dalam Pendidikan serta pendidikan matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Secara tidak langsung fakta yang dikemukakan ini bukan rekaan bahkan ada realitinya dan dipersetujui oleh para guru bawahan yang tidak diberikan insentif istimewa melalui Skim Adiguru (Guru Super) dan sebagainya. Kita juga sedia maklum bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan penerima terbesar Belanjawan Negara saban tahun. Namun pengagihan wang tersebut perlu dilakukan secara bijak dan saksama. Penulis melihat orientasi system sekolah kebangsaan terutama sekolah luar Bandar yang kecenderungannya kepada keceriaan dan kebersihan sekolah memang ada baiknya. Walaubagaimanapun, janganlah ia bersifat keterlaluan sehingga membebankan guru. Kalau tidak ia sekadar membazirkan wang yang telah disalurkan kerajaan selama ini.

Ada sebilangan guru besar dan pengetua yang ingin mengejar ‘glamour’ dan pujian sanggup menjadikan sebahagian guru sebagai kambing hitam. Mereka mahu sekolah mereka memenangi anugerah keceriaan dan kebersihan tidak kira melalui peringkat negeri atau kebangsaan. Maka para guru di sekolah terbabit dikerahkan sehingga kerja – kerja melukis ‘mural’ di bangunan sekolah menjadi peranan utama guru dan ini mematikan hala tuju pelajaran Negara. Guru – guru ini juga menjadi sasaran korban waktu rehat bagi sesi persekolahan dan waktu tamat sesi persekolahan serta ada yang terpaksa ‘bekerja’ pada waktu cuti hujung minggu. Penulis berpandangan nilai dan harga pelajaran Negara mudah dijual beli sekiranya factor ini menjadi antara factor pendesak kehancuran matlamat pelajaran kita.

Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memantau situasi ini agar terkawal. Kita tidak mahu para pendidik kita gagal melaksanakan misi utama mereka iaitu mendidik sekiranya hal – hal bersifat pentadbiran, pengkeranian, malahan keceriaan sekolah menjadi wirid harian utama mereka. Kita perlukan sebuah mekanisme yang mantap selaras untuk merealisasikan matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Kiriman Oleh:
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman
Mantan Timb. Presiden 1
Persatuan Mahasiswa Undang – Undang 05/06,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tuesday, November 25, 2008

Calon Pilihanraya Kampus: Antara Ideologi dan Personaliti

Tahun ini merupakan tahun yang agak ganjil bagi kampus seluruh Malaysia. Secara adatnya, apabila semester satu bagi setiap hujung tahun tiba, kampus bagaikan berpesta kerana pada ketika itu akan diisytiharkan tanggal keramat bagi pilihanraya kampus. Walaupun begitu, keadaan berbeza pada tahun ini kerana banyak universiti mengambil sikap berdiam diri dan membisu dengan kegagalan mereka mengumumkan tarikh yang dinanti – nanti itu.

Sungguhpun begitu, calon yang bakal bertanding perlu bersedia dan siap siaga untuk menghadapi pilihanraya yang akan diumumkan pada bila – bila masa sahaja. Penyokong dan pendokong perlu bekerja keras bagi memudahkan jalan kemenangan calon mereka. Penulis pernah dihujani beberapa soalan yang tampak berunsur kontroversi. Antara yang soalan menarik minat penulis ialah apakah faktor kemenangan seseorang calon? Adakah berdasarkan kepada personalitinya atau ideologi?

Secara puratanya mengikut kajian penulis sepanjang berada di bangku universiti, kemenangan seseorang calon banyak dipengaruhi oleh idealogi. Idealogi di kampus bermaksud kefahaman dan pengaruh sesuatu kumpulan yang wujud dikalangan pelajar di universiti. Pengaruh ini wujud akibat pelbagai desakan. Ia berkembang mengikut keadaan semasa sesebuah universiti. Cara pengembangannya lebih kepada isu yang dimainkan di dalam universiti. Kadang – kadang idealogi itu terbentuk melalui isu politik nasional sehingga tempiasnya dirasai oleh mahasiswa dan kadangkala isu yang diputarkan itu berkaitan dengan politik semasa kampus.

Ideology ini akan berkembang biak melalui perbincangan, pertemuan, malahan boleh berterusan melalui penguasaan media alternatif seperti blog, laman web, forum dan sebagainya. Melalui medium inilah segala isu akan diperbesarkan dan dibincangkan secara analtikal atau secara santai. Oleh itu, kita tidak perlu hairan mengapa dan kenapa beberapa kampus masih mengekalkan kemenangan kepada kumpulan yang berpegang ideologi tertentu kerana mereka ini bijak berpolitik dan mampu meneruskan ‘standard’ pengaruh mereka.

Mahasiswa yang hidup di sana tahu dan bijak membezakan antara idealogi yang berkebajikan dan idealogi berkepentingan peribadi. Selain itu, sesuatu pegangan idealogi mampu untuk kekal lama sekiranya para pengikut idealogi mempunyai hubungan yang baik bersama para pelajar, staff dan universiti, terlibat secara cemerlang dalam aktiviti kokurikulum, mempunyai kelayakan akademik yang mantap dan bersikap rendah diri serta bukan tergolong dalam ‘budak nakal’ maka sokongan yang akan diberikan berlipat ganda.

Contoh yang boleh diberikan ialah situasi dan kondisi yang berlaku di sebuah kampus perdana di Gombak. Kenapa calon pro-mahasiswa masih mengekalkan kemenangan mereka setiap tahun? Jawapannya mudah iaitu kekuatan idealogi disamping kehebatan personality calon – calon yang dipertandingkan. Pihak proaspirasi gagal membawa calon yang berwibawa disamping calon mereka kesemuanya menghadapi masalah akademik yang bernanah.

Sifat dan sikap penyokong proaspirasi yang dilihat sebagai penghisap rokok yang tegar semakin dijauhi oleh mahasiswa. Malahan politik kepartian sempit mereka yang selalu dijaja melalui poster dan stiker parti politik nasional yang dipamerkan melalui kenderaan mereka sering dijadikan bahan bualan mahasiswa. Jika perkara ini berterusan maka kemenangan pro mahasiswa bakal dijangka memenangi majority kerusi setiap tahun dalam pilihanraya kampus.

Sifir politik kampus mudah iaitu kuatnya sebuah kemenangan adalah kerana kuatnya sebuah pegangan idealogi. Idealogi ini pula perlu diurus tadbir dengan bijak agar momentumnya berterusan dan dirasai oleh massa.

Kiriman Oleh:
Muhammad Hafiz bin Badarulzaman
Mantan Timb. Presiden 1
Persatuan Mahasiswa Undang – Undang 05/06,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.