Thursday, December 11, 2008

MAHASISWA PERLU BELAJAR BERKORBAN

Perihal korban telah dinukilkan oleh Allah melalui pelbagai kisah bermula dari Nabi Adam, Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Kisah nabi Adam diceritakan tentang penerimaan Allah terhadap haiwan sembelihan dari Habil dan Qabil. Manakala kisah nabi Ibrahim ialah perintah Allah terhadap nabi untuk menyembelih nabi Ismail melalui wahyu yang diturunkan dalam mimpi. Begitu juga cerita nabi Muhammad melalui keturunannya iaitu bapanya yang bakal disembelih oleh datuknya. Segala kisah yang dinukilkan ini mempunyai ibrah dan pengajarannya yang tersendiri. Antara pengajarannya ialah sikap ikhlas, patuh dan taat perintah Allah terhadap segala suruhan-Nya serta sanggup berkorban walau perkara dan benda yang paling disayangi mereka. Penulis berpandangan mahasiswa juga perlu mengambil pengajaran dari semua kisah ini iaitu semangat untuk berkorban.

Mahasiswa pada hari ini gagal menghayati konsep dan semangat untuk berkorban. Secara tidak langsung, kegagalan ini menyebabkan kita berada satu langkah ke belakang berbanding mahasiswa di negara lain. Apa yang penulis ingin maksudkan ialah pengorbanan mahasiswa terhadap masa, tenaga dan komitmen dalam perjuangan mereka. Rata – rata mahasiswa hari ini tidak berjaya untuk menguasai lapangan kajian secara kritis dan kritikal, kurang membaca dan tiada idealisme serta identiti kerana mereka tiada minat, semangat dan wawasan untuk berkorban ke arah menjadi mahasiswa yang berdaya saing.

Kehadiran ke seminar dan konvensyen seharusnya menjadi minat dan hobi mahasiswa. Namun mahasiswa di negara kita lebih cenderung untuk berhibur dan berseronok daripada berada di dalam satu majlis formal dan berbincang sesuatu perkara yang ilmiah dan serius. Hanya beberapa ‘kerat’ mahasiswa sahaja yang boleh dihitung jari menghadiri program seumpama ini. Sedangkan program sebegini manfaatnya besar kerana kita akan didedahkan melalui kajian – kajian semasa oleh ahli akademik serta analisis – analisis isu dari aktivis – aktivis masyarakat serta lain – lain.
Melalui program seumpama ini kajian telah disediakan oleh mereka yang pakar dan tidak perlu lagi untuk mahasiswa ke perpustakaan mencari bahan – bahan kajian. Bila ditanya kenapa tidak menceburkan diri dalam program ini dan kebiasaannya mereka menjawab itu bukan bidang mereka, banyak waktu lain boleh dihadiri lagi dan seribu satu alasan untuk melepaskan diri. Itu belum lagi ditanya adakah mahasiswa yang tiada minat menghadiri seminar ini selalu melakukan kajian secara sendirian seperti mengumpul keratan akhbar dan majalah, mencari kertas – kertas kerja dalam internet dan sebagainya. Maka sudah pasti jawapannya ialah “TIDAK”.

Bak kata Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail, seorang tokoh wartawan negara apabila ditanya pendapatnya terhadap wartawan hari ini maka beliau menjawab bahawa wartawan hari ini tidak kritikal mungkin kerana negara sudah maju dan idealisme perjuangan wartawan sudah tiada. Kenyataan ini boleh diqiyaskan kepada mahasiswa juga bahawa kemalasan mahasiswa untuk melakukan kajian kerana faktor yang sama. Ini menunjukkan bahawa mahasiswa gagal menghayati semangat untuk berkorban masa dan komitmen mereka untuk melakukan kajian secara analitikal dan kritis dalam suatu isu.

Selain itu, mahasiswa Malaysia juga dilihat sebagai satu golongan yang kurang membaca bacaan tambahan selain daripada buka pelajaran fakulti mereka. Ini seakan menghina Dasar Buku Negara yang ditubuhkan pada tahun 1985 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mensia- siakan penerbitan buku kecil yang berjudul Dasar Buku Negara pada tahun 1992 oleh DBP bagi pihak Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang tujuannya ialah mahukan rakyat di negara ini mempunyai minat membaca yang tinggi. Kita juga tidak boleh menyalahkan kerajaan dalam masalah ini kerana kerajaan telah menyediakan segala prasarana yang mencukupi bahkan turut melancarkan “Bulan Membaca Kebangsaan” pada setiap Julai saban tahun.

Hal ini dibuktikan lagi melalui satu kajian yang pernah dilakukan oleh Frank Smnall and Association yang mendapati bahawa tabiat membaca golongan dewasa agak membimbangkan. Sebanyak 31 peratus tidak pernah membaca sebarang buku, 28 peratus mengaku membaca sekurang – kurangnya sebuah buku seminggu, 13 peratus membaca sebuah buku bagi setiap dua hingga empat minggu, 12 peratus membaca sebuah buku bagi setiap satu hingga tiga bulan dan 4 peratus membaca bagi setiap empat hingga 12 bulan. Maka kita boleh fahami bahawa golongan mahasiswa juga tergolong dalam kelompok dewasa ini. Oleh yang demikian, mahasiswa perlu lebih banyak membaca dan mengorbankan sedikit masa agar dapat membuktikan bahawa mahasiswa negara ini adalah mahasiswa yang berintelek tinggi.

Di samping itu, sejak kebelakangan ini mahasiswa juga didapati hilang jati diri dan identiti mereka. Mereka seharusnya menjadi jurubicara ummah yang membantu rakyat dan masyarakat membawa isu mereka kepada pimpinan tertinggi negara. Kalau dahulu mahasiswa begitu yakin dan lantang menyuarakan hasrat rakyat. Antara lipatan sejarah yang boleh diambil pengajaran seperti Demonstrasi Hamid Tuah yang berlaku pada tahun 1967. Pada masa itu, mahasiswa UM menuntut supaya kerajaan mengambil sikap proaktif terhadap masalah “kelaparan tanah”. Peristiwa penangkapan Hamid Tuah bersama para pengikutnya yang meneroka tanah secara haram di Teluk Gong, Selangor dipandang serius dan berat oleh mahasiswa. Mahasiswa menentang penangkapan Hamid Tuah dan meminta kerajaan membebaskannya dan mengkaji semula polisi pembahagian tanah.

Begitu juga halnya dalam Demonstrasi Baling 1974 yang merupakan kemuncak kepada gerakan mahasiswa kerana membela nasib golongan petani di Baling. Demonstrasi yang diadakan di Kuala Lumpur merupakan rentetan daripada “Perarakan Lapar” Kedah oleh penduduk Baling sekitar 13 000 hingga 30 000 orang pada 21 dan 22 November 1974. Pada masa itu, negara mengalami tekanan inflasi dan kejatuhan harga getah yang teruk ke paras $0.20 sepaun. Purata pendapatan petani sebulan adalah di antara $ 40.00 hingga $ 100.00 sebulan. Maka mahasiswa bangkit dan menonjolkan identiti mereka yang sebenar sebagai mahasiswa yang berjiwa rakyat. Justeru mahasiswa hari ini perlu menonjolkan identiti dan idealisme mereka. Usaha ke arah itu perlu disertai dengan semangat berkorban yang tinggi.

Mahasiswa perlu ingat bahawa segala kemudahan dan kesenangan yang mereka kecapi hari ini di kampus merupakan hasil titik peluh daripada pendapatan rakyat. Mereka juga perlu percaya dan yakin bahawa pendidikan yang diterima di kampus juga merupakan pembiayaan yang datang dari wang rakyat. Maka perlu wujud satu konsep “give and take” antara mahasiswa dan rakyat. Rakyat telah memberi segala kemudahan melalui kerajaan dan mahasiswa perlu “membayar” kembali hutang mereka. Untuk itu, segala-galanya bermula daripada konsep pengorbanan demi membalas jasa dan bakti rakyat.

No comments: