Monday, January 5, 2009

HASRAT MAHASISWA MENDEPANI TAHUN BARU

Tahun ini menyaksikan pertembungan antara dua sambutan tahun baru iaitu tahun baru kalendar Hijrah bagi umat Islam dan tahun baru Masehi bagi seluruh masyarakat dunia. Dunia bersilih ganti cepat bagaikan sedetik jarum pusingan jam. Oleh itu, mahasiswa juga perlu berubah ganti dari sudut pendekatan gerakan mereka selari dengan perubahan waktu. Apa yang ingin penulis nyatakan ialah tiga teras utama yang perlu dimiliki oleh mahasiswa dalam mendepani tahun baru ini. Tiga teras tersebut ialah intelektualisme, idealisme dan aktivisme.

Mahasiswa sering menjadi indikator kepada masyarakat sebagai golongan terpelajar dan berwibawa. Mereka dianggap sebagai golongan berilmu yang mampu mewarisi tampuk kepimpinan negara. Budaya intelektualisme disuburkan oleh mahasiswa di bumi kampus sebagai wadah untuk mereka berusaha dengan lebih cemerlang dalam memacu diri mereka. Amat malang sekali apabila kewibawaan mahasiswa terpalit dengan nanah hiburan yang merosakkan dan diragukan mentaliti mereka dengan fenomena hedonisme melampau.

Budaya hedonisme di kampus seakan berlumba dan bersaing untuk menjatuhkan budaya intelektualisme. Maka dianjurkan pelbagai konsert nyanyian yang tiada pengisian rohani dengan persembahan yang tidak melambangkan nilai intelek yang tinggi. Benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak dalam perbahasan pindaan AUKU bahawa mahasiswa hari ini malas. Sifat malas mereka berpunca daripada budaya hiburan yang melampau dek segelintir pemimpin mahasiswa yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik apabila terpilih sebagai pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Justeru, mahasiswa hari ini perlu berganjak dan berani mendepani tahun baru yang bakal menjelang dengan menyuburkan budaya intelektualisme.

Di samping itu, mahasiswa juga perlu mempunyai idealisme mereka yang tersendiri. Mereka perlu berani menyuarakan pendapat dan desakan daripada rakyat. Maka tidak hairanlah wujud slogan mahasiswa sebagai jurubicara ummah. Walaupunbegitu, prasyarat penting dalam menunjangi suara rakyat ialah mahasiswa perlu banyak membaca.
Pembacaan ini bukan sekadar tertumpu kepada bacaan buku pengajian kuliah dan ilmiah tetapi turut dikehendaki dalam bacaan isu dan situasi semasa. Apabila keadaan ini digabungkan maka akan lahirlah idealism yang bersifat kemahasiswaan. Sungguhpun begitu, idealisme mahasiswa ini perlulah bersifat pragmatic dan praktikal dari sudut pendekatannya. Seharusnya mahasiswa menuruti kata – kata yang dilontarkan oleh Plato, “Think globally, act locally.” Inilah idea sebenar dalam menjadikan mereka punya idealism mereka tersendiri.

Namun begitu, mahasiswa yang sekadar memiliki sifat intelektualisme dan idealisme masih lagi tempang dalam gerakan mereka. Apa yang mereka perlukan lagi dalam pakej mahasiswa yang pragmatik ialah mempunyai sifat aktivisme. Aktivisme mahasiswa merujuk kepada kegiatan dan aktiviti mahasiswa untuk kebajikan rakyat Malaysia dan antarabangsa. Sebagai contoh pada tahun 2003 mahasiswa pernah mewujudkan koliasi yang dinamakan sebagai Gabungan Mahasiswa Anti Peperangan (GEMPAR) yang menentang jenayah peperangan antarabangsa terutama isu ketika itu ialah pendudukan tentera barat di bumi Afghanistan secara haram.

Penulis pernah mengikuti program – program yang dianjurkan oleh GEMPAR dan salah satu daripadanya ialah syarahan yang diadakan di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan tetamu kehormat pada hari itu ialah Duta Iraq. Ini merupakan manifestasi aktivisme mahasiswa dalam mendepani isu – isu antarabangsa. Kini mahasiswa masih lagi ada sekelumit semangat aktivisme mereka apabila wujudnya penglibatan sekelompok mahasiswa yang menamakan diri mereka sebagai Gabungan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) yang sebenarnya diwujudkan semenjak tahun 2001. Motif utama mereka ialah memberi kesedaran kepada rakyat tentang undang – undang drakonian yang bersifat berat sebelah dan bertentangan dengan semangat perlembagaan persekutuan dan keluhuran undang – undang (Rule of Law). Namun masih ramai lagi mahasiswa diluar sana yang bisu dan tiada langsung semangat aktivisme seperti ini.

Oleh yang demikian, mahasiswa perlu mempunyai hasrat dalam mendepani tahun baru ini. Mereka perlu memperbaiki kelemahan dan ketempangan gerakan mahasiswa. Pakej semangat intelektualisme, idealisme dan aktivisme kemahasiswaan sememangnya diperlukan oleh mahasiswa bagi mendepani tahun baru yang ranjaunya penuh laluan sukar dan berliku. Jadikan iktibar hijrah rasulullah sebagai jalan untuk berubah menjelang tahun baru.

Sunday, January 4, 2009

PERSATUAN ANAK NEGERI DI UNIVERSITI PERLU DIMODENKAN

Persatuan Anak Negeri (PAN) di setiap universiti memainkan peranan penting dalam membangunkan sahsiah mahasiswa. Selain itu, persatuan ini juga membantu mahasiswa yang berasal dari negeri – negeri terbabit agar mudah untuk mendapatkan kebajikan mereka. Ada antara mereka dibantu untuk mendapatkan bantuan biasiswa, zakat, derma kilat malahan persatuan ini juga berfungsi menyediakan bas khas setiap kali pulang ke kampong di negeri masing – masing.

Seharusnya mahasiswa berpandangan positif dalam melibatkan diri dalam persatuan ini. Pemikiran yang menyatakan bahawa menyertai persatuan ini akan menyebabkan berlakunya asabiah dan sifat berpuak – puak perlu dihindari kerana walaupun persatuan ini diasaskan untuk negeri – negeri tertentu namun ia bersifat fleksibel dan bermatlamatkan sebagai pemudah cara kepada anak – anak kelahiran negeri terbabit.

Penulis melihat bahawa persatuan anak negeri yang terdapat di setiap kampus ini perlu dirombak sedikit dari segi pendekatan. Pendekatan yang dimaksudkan ialah fokus PAN kini tidak lagi hanya berpusat kepada mahasiswa semata tetapi pendekatan yang lebih mesra dalam membangunkan negeri masing – masing. Idea dan respon daripada mahasiswa amat diperlukan bagi membangunkan negeri masing – masing serta membantu usaha untuk membangunkan modal insan negeri terbabit. PAN ini perlu menjadi ‘pressure group’ kepada kerajaan negeri dalam membawa misi kebajikan mereka.

Tidak keterlaluan jika penulis menggambarkan PAN sebagai ‘horizontal line’ iaitu agen yang mendengar dan menerima rintihan mahasiswa dan rakyat. Maka mereka akan mengkaji dan menganalisa rungutan dan pandangan itu. Selain itu mereka juga boleh digambarkan sebagai ‘vertical line’ iaitu agen yang akan menyampaikan hasrat dan tuntutan rakyat kepada kerajaan dan pihak berwajib serta juga berperanan menyampaikan hasrat dan harapan kerajaan kepada rakyat. Justeru, PAN ini akan menjadi agen ‘check and balance’ kepada sesuatu kerajaan negeri.

Di samping itu, pendekatan untuk memodenkan PAN diperlukan kerana rata – rata yang terlibat dalam persatuan ini terdiri daripada mahasiswa yang terkenal dengan sifat belia dan muda mereka. Secara tidak langsung pendekatan yang lebih mesra kepada pemuda, belia dan remaja di negeri masing – masing dapat menarik minat mereka dengan aktiviti berfaedah dan menguntungkan. Sekiranya pendekatan ini direalisasikan, maka ia akan meringankan beban kerajaan dalam menangani masalah social yang kian meruncing.

Tindakan yang diambil oleh Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan menganjurkan Ijtima’ Aidil Adha di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Sri Mentaloon perlu dipuji kerana idea dan gagasan mereka ialah melontarkan seberapa banyak cadangan dan pandangan mahasiswa dalam membantu kerajaan negeri menguruskan pentadbiran mereka. Malahan PERSADA yang merupakan himpunan mahasiswa persatuan anak negeri Kedah dari setiap kampus telah bertekad untuk menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif perlu dicontohi oleh mahasiswa seluruh Negara.

Kita mahukan PAN ini menjadi pemangkin kepada keutuhan kerajaan negeri dan berjaya membantu belia – belia di negeri terbabit. Hal ini kerana hasil kajian yang dibuat oleh Professor Dr Hussain Mohamed, pensyarah Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya menyatakan kira – kira 60 peratus atau 5.5 juta belia negara ini tidak menyertai gerakan atau pertubuhan belia dan ini akan menjadi satu cabaran kepada PAN untuk membuktikan kemampuan mereka. Oleh itu, PAN ini perlu merombak kembali pendekatan mereka agar mudah diterima oleh pelbagai pihak khususnya remaja dan belia di samping membangunkan negeri – negeri masing – masing.