Sunday, January 4, 2009

PERSATUAN ANAK NEGERI DI UNIVERSITI PERLU DIMODENKAN

Persatuan Anak Negeri (PAN) di setiap universiti memainkan peranan penting dalam membangunkan sahsiah mahasiswa. Selain itu, persatuan ini juga membantu mahasiswa yang berasal dari negeri – negeri terbabit agar mudah untuk mendapatkan kebajikan mereka. Ada antara mereka dibantu untuk mendapatkan bantuan biasiswa, zakat, derma kilat malahan persatuan ini juga berfungsi menyediakan bas khas setiap kali pulang ke kampong di negeri masing – masing.

Seharusnya mahasiswa berpandangan positif dalam melibatkan diri dalam persatuan ini. Pemikiran yang menyatakan bahawa menyertai persatuan ini akan menyebabkan berlakunya asabiah dan sifat berpuak – puak perlu dihindari kerana walaupun persatuan ini diasaskan untuk negeri – negeri tertentu namun ia bersifat fleksibel dan bermatlamatkan sebagai pemudah cara kepada anak – anak kelahiran negeri terbabit.

Penulis melihat bahawa persatuan anak negeri yang terdapat di setiap kampus ini perlu dirombak sedikit dari segi pendekatan. Pendekatan yang dimaksudkan ialah fokus PAN kini tidak lagi hanya berpusat kepada mahasiswa semata tetapi pendekatan yang lebih mesra dalam membangunkan negeri masing – masing. Idea dan respon daripada mahasiswa amat diperlukan bagi membangunkan negeri masing – masing serta membantu usaha untuk membangunkan modal insan negeri terbabit. PAN ini perlu menjadi ‘pressure group’ kepada kerajaan negeri dalam membawa misi kebajikan mereka.

Tidak keterlaluan jika penulis menggambarkan PAN sebagai ‘horizontal line’ iaitu agen yang mendengar dan menerima rintihan mahasiswa dan rakyat. Maka mereka akan mengkaji dan menganalisa rungutan dan pandangan itu. Selain itu mereka juga boleh digambarkan sebagai ‘vertical line’ iaitu agen yang akan menyampaikan hasrat dan tuntutan rakyat kepada kerajaan dan pihak berwajib serta juga berperanan menyampaikan hasrat dan harapan kerajaan kepada rakyat. Justeru, PAN ini akan menjadi agen ‘check and balance’ kepada sesuatu kerajaan negeri.

Di samping itu, pendekatan untuk memodenkan PAN diperlukan kerana rata – rata yang terlibat dalam persatuan ini terdiri daripada mahasiswa yang terkenal dengan sifat belia dan muda mereka. Secara tidak langsung pendekatan yang lebih mesra kepada pemuda, belia dan remaja di negeri masing – masing dapat menarik minat mereka dengan aktiviti berfaedah dan menguntungkan. Sekiranya pendekatan ini direalisasikan, maka ia akan meringankan beban kerajaan dalam menangani masalah social yang kian meruncing.

Tindakan yang diambil oleh Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan menganjurkan Ijtima’ Aidil Adha di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Sri Mentaloon perlu dipuji kerana idea dan gagasan mereka ialah melontarkan seberapa banyak cadangan dan pandangan mahasiswa dalam membantu kerajaan negeri menguruskan pentadbiran mereka. Malahan PERSADA yang merupakan himpunan mahasiswa persatuan anak negeri Kedah dari setiap kampus telah bertekad untuk menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif perlu dicontohi oleh mahasiswa seluruh Negara.

Kita mahukan PAN ini menjadi pemangkin kepada keutuhan kerajaan negeri dan berjaya membantu belia – belia di negeri terbabit. Hal ini kerana hasil kajian yang dibuat oleh Professor Dr Hussain Mohamed, pensyarah Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya menyatakan kira – kira 60 peratus atau 5.5 juta belia negara ini tidak menyertai gerakan atau pertubuhan belia dan ini akan menjadi satu cabaran kepada PAN untuk membuktikan kemampuan mereka. Oleh itu, PAN ini perlu merombak kembali pendekatan mereka agar mudah diterima oleh pelbagai pihak khususnya remaja dan belia di samping membangunkan negeri – negeri masing – masing.

No comments: