Wednesday, March 18, 2009

Layakkah Dato’ Seri Nizar digelar MB Perak yang sah?

Perkembangan politik di Perak begitu meruncing sejak kebelakangan ini. Hal ini tercetus apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat telah beralih parti dengan mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN Bebas. Mereka terdiri dari Jamaludin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailani (Changkat Jering) yang kini kedua-duanya menerima tuduhan rasuah di mahkamah serta Hee Yit Foong (Jelapang).

Keadaan menjadi semakin runcing apabila Datuk Zambry Abd Kadir, ADUN Pangkor, diperkenan sultan sebagai Menteri Besar Perak yang ke-11 melalui upacara mengangkat sumpah pada Jumaat lepas di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak. Sungguhpun begitu, Menteri Besar Perak yang dipilih oleh rakyat iaitu Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan Menteri Besar Perak dengan alasan beliau masih lagi menyandangnya secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang – Undang Tubuh Negeri Perak.

Apabila tercetus peristiwa ini, penulis terpaksa menghabiskan banyak masa di perpustakaan universiti dengan hasrat untuk menyelidik dan mengkaji tentang kebenaran dakwaan dan kenyataan yang dilemparkan oleh Dato’ Seri Mohamad Nizar bahawa beliau masih lagi memegang jawatan sebagai MB Perak dan perlantikan Datuk Zambry adalah tidak sah.

Mengikut prinsip keluhuran perlembagaan, kita sedia maklum bahawa di dalam Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan menyatakan perlembagaan merupakan undang – undang tertinggi (supremacy constitution) dan kita wajib menjadikannya sebagai rujukan dan apa sahaja tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan maka dianggap sebagai terbatal (void).

Selain itu, kita juga menggunakan prinsip kedaulatan undang – undang. Di Malaysia kita menggunakan konsep undang – undang Westminster yang aplikasinya ialah ‘binding precedent’ iaitu kes – kes sekarang akan dihakimi mengikut kes – kes terdahulu. Sebarang pertikaian di dalam mahkamah, hakim akan merujuk kepada keputusan kes – kes terdahulu (stare decisis). Oleh itu, dalam merungkai masalah MB Perak penulis melalui kacamata sebagai mahasiswa akan berbincang mengikut keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang – undang.

Mengikut Jadual Lapan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 1 (2) menyatakan iaitu Sultan mempunyai hak untuk melantik Menteri Besar. Walaubagaimanapun, Jadual Lapan tidak menyatakan hak Sultan untuk memecat jawatan Menteri Besar. Tetapi telah disebut Perkara 2 (6) bahawa sekiranya Menteri Besar tidak lagi mendapat mandat kepercayaan daripada majoriti ADUN barulah Menteri Besar meletakkan jawatan dan Menteri Besar juga bolehlah memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN sekiranya dirasakan perlu. Jelas di sini bahawa perlembagaan telah menyatakan bahawa MB akan hilang kelayakannya sekiranya wujud undi tidak percaya. Namun keadaan ini tidak diaplikasikan di Perak dan ternyata lantikan baru MB Perak bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan tindakan ini sepatutnya dikira terbatal.

Di samping itu, marilah kita teliti beberapa kes terdahulu yang akan menterjemahkan perlembagaan persekutuan. Di dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Tun Abang Haji Openg dan Tawi Sli [1966] 2 MLJ 187, Gabenor Sarawak telah menerima surat yang ditandatangani oleh 21 ADUN yang menyatakan mereka tidak lagi memberikan kepercayaan kepada Stephen sebagai Ketua Menteri Sarawak. Walaubagaimanapun Stephen enggan untuk meletak jawatan dan Gabenor mengisytiharkan Stephen meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Mahkamah telah memutuskan bahawa tandatangan 21 ADUN itu tidak mewakili suara majoriti Dewan Undangan Negeri maka pengisytiharan tersebut dikira tidak sah dan terbatal. Mahkamah juga memutuskan bahawa Gabenor tiada hak untuk melucutkan jawatan sehinggalah diadakan dan dilihat majoriti undi tidak percaya kepada Ketua Menteri. Keputusan mahkamah ini wajar diikut oleh mana – mana pemerintah negara kita yang menyanjung tinggi kedaulatan undang – undang.

Selain itu, di dalam kes Tun Datu Haji Mustapa bin Datu Harun lwn Tun Datuk Haji Mohamad Adnan Robert, Yang Dipertua Sabah dan Datuk Joseph Pairin Kitingan (No2) [1986] 2 MLJ 420, situasinya hampir sama dalam kes sebelum ini dan mahkamah memutuskan bahawa sekiranya Ketua Menteri Sabah (KM) enggan meletak jawatan maka telah menjadi tanggungjawab kepada sidang DUN untuk meluluskan undi tidak percaya kepadanya atau beliau sendiri boleh memohon kepada Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN atau meletakkan jawatan. Maka keputusan untuk melucutkan jawatan bukanlah hak mutlak Yang Dipertua Negeri sehinggalah KM itu diisytiharkan melalui kelulusan sidang DUN.

Hal ini juga dijelaskan di dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia yang ditulis oleh Tun Salleh Abbas, mantan Ketua Hakim Negara bahawa jika menteri besar atau ketua menteri yang tidak lagi mendapat mandat kepercayaan lebih dari separuh ahli DUN, maka beliau dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hendaklah meletak jawatan melainkan atas permintaan Menteri Besar atau Ketua Menteri DUN dibubarkan oleh raja supaya diadakan satu pilihanraya. Selain itu, di dalam buku Mengenal Perlembagan Persekutuan yang ditulis oleh Tun Mohamed Suffian bin Hashim, yang juga merupakan mantan Ketua Hakim Negara menyebut bahawa Raja atau Yang Dipertua Negeri mempunyai kuasa untuk perkenan ataupun tidak terhadap Ahli Majlis Mesyuarat Negeri selain dari Ketua Menteri atau Menteri Besar. Maka kita dapat fahami bahawa Raja atau Yang Dipertua Negeri hanya mempunyai hak untuk menggugurkan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tetapi tidak mempunyai hak yang sama pada Menteri Besar atau Ketua Menteri. Oleh itu, tindakan terhadap Dato’ Seri Nizar dianggap sebagai melampaui bidang kuasa (ultra vires).

Di samping itu, di dalam kes Datuk Amir Kahar bin Tun datu Haji Mustapha lwn Tun Mohd Said Keruak Yang Dipertua Negeri Sabah & lain – lain [1995] 1 MLJ 169 telah diputuskan bahawa perletakan jawatan oleh Ketua Menteri atau Menteri Besar merupakan perletakkan jawatan kepada seluruh entiti Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Justeru, tindakan Dato’ Seri Nizar yang tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar bermakna kedudukan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih lagi sah dan diiktiraf sehinggalah wujudnya undi tidak percaya kepada kerajaan yang sedia ada sekarang.

Secara tuntas, kita dapat memahami bahawa situasi dan kondisi di Perak kini hampir sama kepada senario yang berlaku di dalam kes dan fakta yang disebut sebelum ini. Persoalan sama ada layak atau tidak Dato’ Seri Nizar diiktiraf sebagai MB Perak yang sah akan ditentukan melalui perlembagaan dan kes – kes mahkamah. Sungguhpun begitu, penulis berpandangan bahawa perlantikan Datuk Zambry Abd Kadir sebagai MB yang baru sebagai tidak sah berdasarkan kepada keputusan mahkamah dalam kes-kes ini dan bertentangan semangat perlembagaan. Amat wajar dan betul tindakan Dato’ Seri Nizar mempertahankan jawatannya kerana beliau berdiri di belakang perlembagaan dan menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan.

Penulis juga melihat media perdana sengaja memutarkan belitkan fakta dengan menzahirkan seakan peribadi Dato’ Seri Nizar menderhaka kepada sultan sedangkan beliau menyokong dan menjunjung sepenuhnya prinsip kesetiaan kepada Raja. Sebagai mewakili mahasiswa, penulis berharap masalah ini dapat diselesaikan secara harmoni dan keadilan perlu diletakkan pada tempatnya. Mahasiswa juga menyokong kepada keputusan yang adil bakal diputuskan oleh mahkamah.

Namun mahasiswa mengharapkan agar masalah di Perak tidak berlanjut hingga ke Mahkamah dan mengheret bersama istana ke kancah politik. Mahasiswa sentiasa menyokong dan mendokong serta taat dan setia kepada keadilan Sultan. Apa yang diharapkan agar Sultan Perak dapat mempertimbangkan hak baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya memberi hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang sah dan berkebajikan. Kita tidak mahu sebarang keputusan yang dibuat menzalimi sesuatu pihak semata – mata untuk mengaburi mata pihak lain.

1 comment:

Anonymous said...

I don't think YB Nizar will have enough support for MB post.

However I do not understand why BN does not want to go through proper channel to gain gain control of Perak.

Was he a good MB? I think most people will agree he is.