Thursday, March 19, 2009

KEMBALIKAN HAK BIASISWA KEPADA MAHASISWA

Biasiswa merupakan satu pemberian berbentuk bantuan kewangan yang diberikan kepada para pelajar yang masih lagi dalam pengajian. Kita sedia maklum bahawa biasiswa ini diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Bantuan yang dibekalkan ini disalurkan sejak para pelajar berada dalam tahun pengajian sekolah menengah. Penulis pernah menerima bantuan seumpama ini ketika berada di dalam pengajian di sekolah menengah menerusi biasiswa kerajaan.

Apa yang ingin dipersoalkan di sini ialah istilah biasiswa yang digunapakai pada hari ini tidak lagi sama seperti istilah yang digunakan beberapa dekad yang lalu. Takrif dan pengertian yang diberikan kini lebih menjurus kearah bentuk pinjaman kewangan yang perlu dipulangkan kembali setelah tamat pengajian suatu ketika nanti. Walaubagaimanapun, pemberian biasiswa di sekolah menengah mempunyai perbezaan dengan pemberian biasiswa di universiti tempatan mahupun antarabangsa. Biasiswa yang disalurkan kepada pelajar sekolah menengah masih lagi diberikan secara percuma tetapi apabila mereka melanjutkan pelajaran biasiswa tadi akan bertukar menjadi pinjaman kewangan.

Penulis memahami mengapa dan kenapa biasiswa ini dikembalikan semula kepada kerajaan. Namun isu ini tidak terhenti di sini kerana mahasiswa yang berada di dalam pengajian kampus perlu mengembalikan pinjaman beserta dengan faedah ataupun ‘bunga’. Bunyinya manis tetapi amat menyakitkan kerana faedah ini akan bertambah dari tahun demi tahun jika graduan universiti tidak melangsaikan pinjaman ini mengikut waktu yang ditetapkan.

Mahasiswa memohon supaya kerajaan menghentikan pengambilan faedah yang berlebihan daripada mahasiswa apatah lagi ketika berhadapan situasi ekonomi global yang tidak menentu ini. Graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian pun susah untuk mendapatkan peluang pekerjaan untuk menyara kehidupan. Maka sudah pasti pembayaran pinjaman ini perlu ditangguhkan kerana tidak termasuk dalam senarai keutamaan graduan. Secara tidak langsung faedah pinjaman ini akan meningkat melalui penangguhan pembayaran tadi.

Tujuan faedah ini dikenakan kononnya bagi menampung pembiayaan terhadap kos pentadbiran, pengurusan dan perkhidmatan. Sungguhpun begitu kita perlu memahami bahawa kos – kos ini adalah di bawah pembiayaan kerajaan dan merupakan tanggungjawab sosial kerajaan terhadap Pendidikan Negara. Tindakan meghapuskan biasiswa dan mengenakan faedah terhadap pembayaran pinjaman merupakan suatu pengabaian terhadap kebajikan rakyat.

Persoalan yang perlu difikirkan bersama juga adalah kenapakah mahasiswa terpaksa menanggung beban kos – kos ini sedangkan kerajaanlah yang bertanggungjawab terhadap pembiayaan tersebut. Kerajaan merupakan penyuntik utama modal dan bertanggungjawab ke atas persoalan modal dan pengurusan wang biasiswa. Rakyat tidak seharusnya terpaksa menanggung beban kerajaan semata-mata
kerana kerajaan ingin mencari nilai keuntungan komersial di dalam sektor pendidikan negara.

Maka mahasiswa memohon supaya kerajaan persekutuan terutamanya bersikap telus dan terbuka dalam pemberian biasiswa kepada mahasiswa. Sudahlah biasiswa dihapuskan dan ditukarkan kepada bentuk pinjaman malahan mahasiswa juga dibebankan dengan faedah yang dikenakan. Secara peribadi, penulis berpandangan kerajaan Pakatan Rakyat perlu menjadi contoh dan teladan kepada seluruh kerajaan negeri lain dengan menghapuskan faedah yang dikenakan melalui Lembaga Biasiswa Kerajaan Negeri masing – masing.

Kita mendambakan sebuah kerajaan dan Negara yang berkebajikan. Tidak terlampau terbeban dengan permintaan rakyat dan tidak terlampau membebankan ‘periuk nasi’ nasi rakyat. Selain itu, kerajaan Pakatan Rakyat juga perlu mengurangkan birokrasi dalam pemberian pinjaman kewangan ini. Mereka perlu mengutamakan pembinaan modal insan iaitu melalui pendidikan dan meluluskan biasiswa dan pinjaman kewangan bagi mereka yang ingin menyambung pengajian di peringkat sarjana (Master) dan doctor falsafah (Phd).

Apabila faedah ini dihapuskan dan biasiswa dihidupkan kembali fungsinya bererti hak mahasiswa dan rakyat telah dikembalikan. Maka cita – cita untuk menjana modal insan seterusnya bagi mencapai rakyat yang bermentaliti kelas pertama dapat direalisasikan.

No comments: