Tuesday, March 17, 2009

Perdana Menteri Turki Ikon Keberanian Mahasiswa

Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davos, Switzerland pada minggu lepas digamitkan dengan tindakan berani yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan. Beliau dengan berani keluar dewan sewaktu beliau terlibat dalam forum itu sebagai salah seorang panelis forum. Di samping beliau dalam forum itu ialah Presiden Israel, Shimon Peres; Setiausaha Agong PBB, Ban Ki-Moon; dan Setiausaha Liga Arab, Amr Moussa.

Tindakan itu dilakukan apabila penulis Washington Post yang mempengerusikan majlis, David Ignatius ternyata dengan sikap berat sebelah hanya memberinya 12 minit untuk berucap. Walhal Shimon Peres dengan lantang dan berhujah dengan penuh emosi selama 25 minit merujuk kepada Hamas kononnya segala pertikaian ini berpunca daripada kegiatan Hamas yang menaja keganasan. Perdana Menteri Turki itu dengan berani menyergah Peres dan menyalahkan Israel yang bertanggungjawab terhadap keganasan mereka di wilayah Gaza dan juga bertanggungjawab terhadap pembunuhan yang lalu.

Sekiranya kita melihat scenario pada hari ini, tidak banyak Negara yang berani bangun di hadapan Israel dan menentang mereka secara terang – terangan. Inilah keberanian yang perlu dicontohi oleh mahasiswa Malaysia terhadap peribadi PM Turki. Beliau berani untuk mengatakan perkara benar walaupun musuh yang dihadapinya ialah musuh yang digeruni dunia. Penulis teringat seketika tentang keberanian yang ditonjolkan oleh Khalifah Islam yang ketiga iaitu Saiyyidina Umar R.A sewaktu zaman permulaan Islamnya. Beliau dengan berani menyatakan di hadapan penduduk Mekah bahawa siapa yang mahu melihat ibu mereka kehilangan anak lelaki yang tercinta dan isteri mereka menjadi janda maka bangkitlah di hadapannya dan terus menghalangnya dari menyebarkan Islam. Itulah kehebatan Umar R.A yang mungkin dijadikan iktibar oleh PM Turki.

Sesungguhnya kehebatan Reccep telah bermula sebelum beliau menjadi PM Turki lagi.

Ketika berada di bangku pengajian di universiti beliau merupakan penuntut aliran ekonomi menyokong penuh gerakan yang dipimpin oleh Necmettin Erbakan, mentor politik Islam di Turki yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Islam pertama negara itu. Selain itu, Erdogan pernah berada di kerusi empuk pentadbiran awam apabila dilantik menjadi Datuk Bandar Istanbul pada tahun 1994. Pada waktu itu, beliau sangat popular terhadap program yang dilaksanakannya seperti membersihkan jalan raya, membekalkan air yang bersih dan memulihkan sistem trafik di kota yang sesak dan sibuk dengan 10 juta penduduk itu mendapat sambutan ramai dan menggalakkan.

Sungguhpun begitu, langit tidak selalunya cerah dan awan tidak selalunya mendung. Beliau telah disabitkan mahkamah sebagai mencetuskan kebencian agama ketika menjadi Datuk Bandar Istanbul.pada tahun 1998. Empat bulan hukuman penjara terpaksa ‘ditempah’ oleh beliau daripada hukuman penjara 10 bulan yang dijatuhkan oleh mahkamah kerana membaca sebuah puisi dalam sebuah perhimpunan. Puisinya itu berbunyi: ``Masjid adalah berek kami, menara itu benet, kubah itu topi besi dan orang beriman adalah tentera kami.'' Setelah dibebaskan, beliau tidak lagi berbicara mengenai masjid bahkan turut membisukan diri dari menyindir dan mengutuk sistem sekular negaranya.

Sejak dari itu beliau telah merancang strategi bagi menapak semula di arena politik dalam masa yang sama berusaha untuk menyebarkan syiar Islam yang semakin terkubur itu. Langkah demi langkah disusun rapi bagi menyembunyikan ‘imej islamik’ demi meraih simpati rakyat yang hampir majoritinya berpemikiran sekular. Akhirnya atas nama parti yang baru untuk menghapuskan inflasi yang semakin tinggi dan tekanan ekonomi yang cukup mengancam, beliau kini telah diberi mandat besar untuk memimpin.

Rakyat Turki telah memberi mesej jelas, mereka bosan dengan kepimpinan lama dan mahu kejujuran dan kerajaan demokratik yang sebenar. Dua parti yang mengecewakan pengundi sudah menerima hukuman dan kini parti Erdogan diberi peluang. Ketika kemenangan partinya di Turki pada awal bulan November tahun 2002, Akhbar Sabah telah merumuskan bahawa kemenangan Erdogan itu adalah satu kebangkitan `revolusi orang Anatolia' dan kehendak para pengundi yang menyingkirkan ahli politik lama sebagai satu `proses pembersihan besar-besaran’.

Perkara pertama yang akan dilakukannya selepas kemenangan ialah beliau berjanji akan mempercepatkan proses menyertai Kesatuan Eropah (EU) dengan menghantar wakil ke semua 15 negara anggota kesatuan itu bagi melobi pencalonan Turki. Inilah antara strategi bijak yang dilakukan oleh Erdogan demi menaikkan ‘political barometer’ parti yang dipimpinnya. Sejak AK mengambil alih kuasa, Erdogan melawat negara-negara utama Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) untuk menekankan komitmen beliau terhadap pembaharuan demokrasi dan ekonomi yang akan membuka jalan kepada Turki untuk menyertai EU.

Begitulah kehebatan yang berjaya dimiliki oleh Reccep. Mahasiswa perlu bingkas bangun dan terus memburu tips kejayaan yang dipeloporinya. Mungkin pada masa akan datang kita bakal menjadi pemimpin Negara dan harus memastikan kita juga berani mempertahankan saudara Islam kita di Negara lain. Mahasiswa perlu berani berbicara untuk berkata yang hak bak kata bidalan, berani kerana benar, takut kerana salah. Penulis berharap langkah awal Turki ini perlu disambung oleh pemimpin Negara Islam yang lain agar kita dapat hidupkan kembali kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924.

Khilafah Uthmaniah ini telah bertahan di atas muka bumi sebahagian umat Islam selama 500 tahun yang telah merentasi segala tribulasi dan mehnah seperti mengharungi peperangan Salib dan penawanan Kota Konstantinople. Nama – nama besar seperti Sultan Muhammad Al Fateh dan Sultan Suleiman al-Qanuni (Suleiman the Magnificent) di awal pemerintahan Turki Uthmaniyyah begitu menyerlah dan seakan – akan bercahaya dengan gemilang. Bahkan kekuatan ketenteraannya turut diakui. Sebagai contoh tentera laut Uthmaniyyah mempunyai banyak pengaruh di Laut Mediterranean menjadikan perdagangan di sana berkembang dengan pesat disebabkan kestabilan perdagangan di situ. Zaman ini kemudiannya dikenali sebagai zaman "Pax Ottomanica" oleh orang Barat.

Justeru, harapan menggunung kini terletak di tangan mahasiswa Islam di Malaysia. Kalau kita mahu mengimpikan kembali khilafah ini maka kita perlu buktikan melalui tindakan dan keberanian kita dalam berkerja dan bersuara. Tindakan dan keberanian PM Turki wajar dicontohi dan diteladani mahasiswa. Oleh itu, mahasiswa kita perlu kembali bernafas dan melakukan ‘comeback’ di arena nasional seperti tokoh – tokoh ini.

No comments: